Nabila Huda Memasak Menu Dari Borneo

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2024 – Pelakon dan pengacara terkenal, Nabila Huda, akan berkongsi dengan peminatnya resipi air tangannya, termasuk Tuhau Dumplings dan Masak Lemak Putih Pucuk Midin, dalam sebuah program travelog terbaharu yang akan disiarkan di RTM.

Dalam travelog yang diberi tajuk “Enak Di Borneo,” Nabila Huda, yang mesra dipanggil Abil, akan meneroka dan mencari makanan tempatan terbaik di seluruh Sarawak dan Sabah. Abil akan mengembara di kawasan-kawasan yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang, serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti menarik dan mencabar.

Beberapa aktiviti yang dicuba oleh Abil termasuk meluncur di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak, dan menunggang basikal di atas tali yang digantung di udara pada ketinggian 30 kaki.

Namun yang paling menarik dalam program ini adalah bagaimana Abil akan menggabungkan cara masakan moden dengan bahan-bahan tempatan dan menghidangkan hidangan tersebut kepada penduduk setempat. Bahan-bahan khas tempatan, termasuk buah-buahan, sayuran, dan makanan laut, akan dimasak dengan cara tradisional yang berbeza.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti resipi dan cara memasak yang dikongsikan oleh Abil dalam 13 episod program ini. Program “Enak Di Borneo” akan disiarkan bermula 24 Mei, setiap Jumaat, jam 11.00 pagi, di saluran Okey. Anda juga boleh menyaksikan program ini secara percuma melalui RTMKLIK.

Leave a comment