Isu Putri Ariani Abaikan Wartawan: Penganjur Konsert Mohon Maaf

Baru-baru ini di sesi bertemu pihak media yang berlangsung di ibu negara, pihak penganjur bagi Konsert Walkerworld Tour 2024 tampil memohon maaf berikutan isu yang tular di media sosial yang membabitkan salah seorang artis yang bakal terlibat di konsert tersebut iaitu penyanyi Indonesia, Putri Ariani yang dikatakan tidak bersikap profesional dalam satu sidang media pengumuman konsert yang diadakan baru-baru ini.

Pengarah Megatix Sdn Bhd, Ridzuan Mohammad yang merupakan penganjur bagi Konsert Walkerworld Tour 2024 kesal dengan insiden yang berlaku di mana ia di luar kawalan serta pengetahuan pihak beliau. Beliau menjelaskan Megatix telah melantik pihak ketiga untuk menguruskan acara tersebut.

“Untuk makluman rakan media, semasa insiden saya tiada di situasi tersebut kerana keluar seketika bagi meraikan kehadiran tetamu serta tidak sedar akan salah faham yang berlaku antara pihak media dengan Putri Ariani,” jelas Ridzuan.

Tambah beliau lagi, “Megatix hanya menyedari salah faham tersebut setelah melihat laporan media bahawa Putri Ariani didakwa telah mengabaikan dan tidak mengendahkan kehadiran rakan media. Sejujurnya, kami mahu memperbetulkan tanggapan negatif yang telah dilemparkan terhadap Putri Ariani kerana menyinggung rakan media Malaysia yang telah menunggu beliau hampir dua jam dan juga tidak muncul semula selepas itu.”

Kesan dari isu ini, beberapa media atas talian tempatan mengkritik sikap Putri Ariani terhadap media tempatan yang memberi kesan negatif pada reputasi beliau dan turut menerima kecaman dari netizen. Malah isu yang tular ini juga mendapat perhatian media di Indonesia. Putri Ariani bagaimanapun dalam hantaran di Instagram Story menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu ada wartawan yang masih menunggu untuk menemubual dan urusan temubual bersama media adalah di bawah pihak pengurusan konsert.

Sehubungan dengan itu, pihak Megatix telah mengenal pasti pihak dan punca insiden tidak diingini itu namun tidak mahu terus memanjangkan isu dan mengeruhkan keadaan dan bersepakat untuk memperbaikinya secara dalaman. Ridzuan mewakili pihak penganjur dengan rasa rendah hati memohon maaf kepada semua rakan media, kesal akan insiden salah faham yang berlaku dalam sidang media sebelum ini dan sedar ia adalah di atas kekhilafans mereka.

Untuk pengetahuan, Putri Ariani ialah penyanyi yang bakal ditampilkan di konsert DJ popular dunia, Alan Walker di Malaysia iaitu konsert Walkerworld Tour 2024 di Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor pada 22 Jun 2024. Beliau sebelum ini dikenali selepas menyertai program realiti TV, America’s Got Talent musim ke-18 di mana beliau menerima pujian dan golden buzzer dari juri Simon Cowell selepas membawakan lagu “Sorry Seems to Be the Hardest Word” karya asal Elton John. Penampilan Putri Ariani di konsert Alan Walker pada 22 Jun ini datang dari pilihan artis EDM itu sendiri.

Tentang Konsert Walkerworld Tour 2024

Selain Putri Ariani, Alan Walker turut menjemput Robin Packalen dan Sofiloud sebagai undangan khas untuk konsert ini. Tiket untuk Walkerworld Tour Malaysia dijual pada harga RM289 dan RM189, dan boleh dibeli menerusi https://megatix.my/. Sebelum ini, Alan Walker pernah menjadi fenomena dalam dunia muzik menerusi lagu yang berjudul Faded pada Disember 2015. Lagu tersebut telah distrim sebanyak 1.4 bilion kali di laman Spotify dan meraih 3.1 bilion jumlah tontonan di YouTube. Selain itu, lagu Faded turut melayakkan Alan Walker dicalonkan dalam anugerah The BRIT Awards (BRIT) bagi kategori Lagu Terbaik Sepanjang Tahun. Sepanjang karier, Alan Walker telah berjaya membuat persembahan di lebih daripada 650 buah pertunjukan dan festival besar di seluruh negara.

Leave a comment