Ulasan Konsert: Westlife The Hits Tour Live di Arena of Stars

Sebagai seorang yang bukan kaki boyband di era lewat 90’an/awal 2000’an, jika saya disua soalan oleh Jared Dines: “namakan tiga lagu Westlife!”, saya boleh jawab lebih daripada sepuluh lagu agaknya, menunjukkan Westlife memang dapat publisiti yang besar di rantau Asia Tenggara, terutama Malaysia ketika zaman puncaknya walaupun nama mereka tidak besar di US yang terlebih dahulu menggilai Backstreet Boys, Nsync dan 98 Degrees.

Westlife pula di ketika di puncaknya semasa lagu Uptown Girl, cover Billy Joel (saya perasan Westlife banyak juga nyanyikan lagu versi cover) sebenarnya dalam garis masa ketika era boyband sedang menjunam digantikan dengan era nu metal (dengan hadirnya boyband paling berbahaya di dunia, Linkin Park) dan demam emo. Namun Westlife, boyband yang berasal dari Ireland yang saya kira kedatangan kedua selepas Boyzone ada pasarannya sendiri di Asia, terutama di bahagian Asia Tenggara malah konsisten merakam album selang satu atau dua tahun sehinggalah pembubarannya pada tahun 2012. Selang enam tahun, mereka kembali dengan konsert reunion dan dua album studio, cuba mendekati pendengar yang lebih muda melalui album Spectrum apabila meletakkan Ed Sheeran sebagai salah seorang komposer untuk lima lagu dalam album tersebut.

Kerana itu mereka datang lagi ke Malaysia walaupun kali terakhir hanyalah setahun yang lalu. Nostalgia menjual nama mereka, memenuhi ruang Arena of Stars pada 9 Jun 2024 yang berkapasiti 5,000 pengunjung dengan konsert yang padat dengan hits, sesuai dengan nama siri jelajahnya, The Hits Tour. Bezanya, kali ini Westlife hadir sebagai trio iaitu dengan Shane Filan, Kian Egan, dan Nicky Byrne manakala Mark Feehily pula terpaksa menarik diri dari menyertai siri konsert ini atas faktor kesihatan. Biarpun bertiga, paduan tiga suara Shane, Kian dan Nicky tetap memberi gema yang besar mulai dengan lagu World of Our Own tepat jam 6 petang, diikuti I Lay My Love On You dan Nothing’s Gonna Change My Love For You sebelum memulakan interaksi mereka bersama para penonton. Dan mereka memberikan lagi hit selepas hit seperti Flying Without Wings, Bop Bop Baby, If I Let You Go, Swear It Again dan banyak lagi lagu, menjadikan konsert ini bagai satu sesi karaoke bersama peminat yang turut sing-a-long selepas lama menghiburkan mereka sejak pertama kali muncul dalam industri muzik antarabangsa pada tahun 1999. Gerakan dan tarian Westlife pula sesuai dengan usia mereka ini yang memasuki fasa ayah-ayah.

Turut dibawakan ialah medley dari Queen (We Will Rock You dan We Are The Champions) yang membuka pendengaran saya pada rendisi live oleh pemuzik-pemuzik tour yang dibawakan oleh Westlife seperti improvisasi Giorgio Moroder pada lagu Hello My Love, salah satu lagu tulisan Ed Sheeran yang kedengaran lebih baik bila dibawakan oleh Westlife tapi kalau Ed Sheeran sendiri yang bawa mungkin jadi biasa saja.

Secara total, Westlife membawakan 17 lagu untuk set sepanjang sejam 45 minit, cukup untuk membawa saya hanyut ke 25 tahun yang lalu apabila Westlife merajai carta radio, walaupun saya rasa ralat juga untuk mendengar set akustik mereka. Memang rasa tak cukup bila Westlife tak bawa lagu More Than Words (mungkin ada ekstra cover Mr. Big, To Be With You kalau set akustik diwujudkan petang itu). Apapun, terima kasih buat penganjur MMIC Entertainment Group di atas undangan ke konsert ini, moga lebih ramai artis antarabangsa yang besar dapat di bawa selepas ini.

Leave a comment