Bring Me The Horizon Kembali ke Malaysia Bersama BABYMETAL!

Subang Jaya, 24 Jun 2024 – Masa yang dinanti para peminat metalcore di Malaysia akhirnya tiba! Hitman Solutions mengumumkan bahawa band metal terkenal dari England, Bring Me The Horizon, akan kembali ke Malaysia untuk konsert jelajah selepas 11 tahun mereka berkonsert di sini. Konsert yang dinamakan “Bring Me The Horizon Live Featuring BABYMETAL,” dijadualkan bakal berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 21 Ogos 2024.

Selepas kejayaan konsert Sum 41 dan Incubus, Hitman Solutions membuktikan permintaan untuk konsert muzik rock di Malaysia amat tinggi. Kehadiran Bring Me The Horizon merupakan lanjutan yang sempurna untuk senarai konsert tahun 2024. Band yang ditubuhkan pada tahun 2005 ini telah menghasilkan tujuh album studio, memenangi empat anugerah Kerrang!, menerima dua pencalonan Grammy, dan menjual lebih daripada 5 juta album di seluruh dunia. Album terbaru mereka, “Post Human: Nex Gen,” yang dikeluarkan pada Mei 2024, menggabungkan elemen metalcore, hyperpop, dan elektronika, menandakan inovasi mereka dalam muzik.

Konsert ini akan lebih meriah dengan kehadiran band kawaii metal Jepun, BABYMETAL. BABYMETAL, yang mempunyai pangkalan peminat yang kukuh di seluruh Asia dan pernah mengadakan konsert solo di Malaysia pada tahun 2023, akan menambahkan lagi keterujaan dengan gabungan konsep J-idol dan kawaii metal mereka bersama elemen alternatif metal Bring Me The Horizon. Ini pastinya merupakan pengalaman sekali seumur hidup untuk peminat kedua-dua kumpulan ini.

Encik Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group, menyatakan, “Selepas berjaya menganjurkan tiga acara rock tahun ini, amat jelas bahawa permintaan konsert muzik rock di Malaysia amat besar. Oleh itu, kami sangat teruja untuk membawakan Bring Me The Horizon dan BABYMETAL ke Malaysia, memberikan pengalaman yang berbeza dan lain daripada sebelumnya kepada peminat alternatif rock dan metal.”

Surf Beach, Sunway Lagoon dipilih sebagai lokasi ideal untuk konsert ini kerana ia memberikan ruang yang luas kepada peminat untuk menikmati muzik daripada band kegemaran mereka. Sejak penampilan terakhir Bring Me The Horizon pada tahun 2013, lebih daripada 10 tahun yang lalu, peminat kini bersiap sedia untuk rock bersama lagu-lagu seperti ‘Can You Feel My Heart?’, ‘Throne,’ dan banyak lagi!

Konsert “Bring Me The Horizon Live Featuring BABYMETAL” akan memulakan jualan tiket pada 27 Jun 2024, jam 12 tengah hari di www.hitmanlive.com. Tiket konsert dibahagikan kepada dua zon: General Admission (RM388) dan Rockzone (RM488). Peminat juga boleh menambah Express Lane (RM100) untuk keistimewaan lebih dalam kedua-dua kategori (kapasiti terhad).

Untuk pertanyaan mengenai acara ini, sila hubungi 012-2655783 atau concerts@hitman.group.

Leave a comment