Polis Peronda: Drama Bersiri Kepolisan Terbaru Dari Yusof Haslam dan Syafiq Yusof

Drama Polis Peronda mengisahkan pengalaman dan cabaran Unit Kereta Peronda (MPV) PDRM dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam dunia kepolisan. Kisah-kisah kehidupan, kerjaya, dan isu-isu semasa yang berkaitan Dengan jabatan polis dan keluarga akan diberikan tumpuan. Walaupun mereka polis peronda, mereka juga manusia biasa yang berhadapan dengan pelbagai masalah keluarga.

Drama ini diterbitkan oleh Skop Productions Sdn. Bhd dan diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof, dan C. Kumaresan. Dibintangi oleh para pelakon seperti Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, dan Kodi Rasheed, Polis Peronda akan ditayangkan setiap Jumaat jam 10.00 malam di TV3 bermula 28 Jun 2024. Episod baharu juga boleh disaksikan 24 jam lebih awal melalui platform Tonton di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.

Sinopsis: Koperal Bani (Shah Iskandar), seorang ahli pegawai Unit MPV komited dengan tugasnya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan. Ketekunan dan sikap disiplin Koperal Bani dalam menjalankan tugasnya juga disenangi anggota dan pegawai polis yang lain. Dalam sebuah operasi, Koperal Bani dan Lans Koperal Amar (Raja Afiq) dari unit MPV memburu sebuah kereta yang dipandu laju dalam keadaan mencurigakan. Setelah menahan kereta tersebut, rupanya pemandu adalah seorang lelaki remaja, Aiman yang berusia 16 tahun. Ibu Aiman dipanggil ke balai untuk memberi keterangan. Dalam pada itu juga Lans Koperal Ali (Arwan Umar) dan Husin (Kodi Rasheed) dari unit rondaan bermotosikal (URB) berhadapan dengan kes-kes ragut. Dalam masa yang sama, Inspektor Sarah (Puteri Sarah) pula sering ditegur oleh ASP Danial (Ali Reza) supaya mengawasi tugasan anggota bawahannya.

Leave a comment