Konsert: Merah Hitam Gabungkan DEF GAB C dan KRISTAL X

12 Jun 2024 – Def Gab C dan Kristal X, dua nama yang telah terpahat dalam sirkit muzik tanah air lebih 20 tahun, akan bergabung mengadakan persembahan berprestij “Merah Hitam @ Zepp KL: Def Gab C & Kristal X” pada 31 Ogos 2024 (Sabtu) bermula jam 8 malam dengan repertoire hampir 20 lagu malar segar mereka. Kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai pelapis muzik rock yang mempunyai kualiti dan karakter tersendiri dari segi muzikal, imej, dan pengaruh.

Penampilan Sulung dan Reunion

“Ini adalah penampilan sulung kami selepas hampir 4 tahun. Sebelum ini, saya lebih aktif menyanyi secara solo. Ini adalah saat yang sangat saya tunggu-tunggu kerana ‘vibe’ membuat persembahan bersama ahli band adalah puncak kepuasan saya di atas pentas dan juga memberi tenaga yang berbeza kepada peminat. Ini juga merupakan satu ‘reunion’ bagi Def Gab C, dan selepas ini kami merancang untuk mengadakan tour di seluruh negara,” ujar Asheed, vokalis Def Gab C. Selain Asheed, Def Gab C dianggotai oleh Jemboo (Gitar), Ahtonk (Drum), dan Epyn (Bass).

Ekspektasi Kristal X

“Kristal X sangat teruja untuk beraksi dalam konsert ini. Ini juga merupakan peluang bagi peminat setia kami untuk merasai kepuasan tersendiri memandangkan ia diadakan secara sistematik di satu lokasi yang saya rasakan sangat sempurna dari segi penataan bunyi dan visual, iaitu di Zepp KL. Saya dan anggota Kristal X yang lain iaitu Ainol (Drum), Napie (Gitar), Amai (Bass), dan Ayop (Keyboard) sangat bersemarak untuk ‘all out rockin’ bersama para peminat semua,” ujar Lan, vokalis Kristal X.

Tema Merah Hitam

Merah Hitam adalah perkataan yang diambil dari adaptasi kedua-dua lagu hits kumpulan tersebut iaitu “Merah” dari Def Gab C dan “Seragam Hitam” dari Kristal X. Menurut pengarah persembahan, Amad, konsert ini diadun dengan pelbagai suntikan artistik tersendiri, baik dari segi tema, manifesto, dan elemen menarik pada malam persembahan. “Kami juga akan meraikan Hari Merdeka pada konsert tersebut. Pastinya ada sedikit elemen patriotisme yang disampaikan dengan cara kami sendiri nanti. Saya akan pastikan ia bakal menjadi kenangan halwa telinga, kepuasan jiwa dan visual,” tambah Amad.

Sinergi dengan Shoreline Space

“Konsert Def Gab C & Kristal X: Merah Hitam ini merupakan permulaan menceburkan diri secara profesional dalam sirkit persembahan langsung buat syarikat kami, Shoreline Space. Ini juga merupakan sinergi dengan perniagaan asas kami iaitu ruang acara dengan peralatan muzik terkini yang terletak di Sri Rampai. Saya secara peribadi amat teliti dan cerewet dalam menyelenggara persembahan ini dengan menyediakan peralatan, sistem bunyi dan visual, serta tenaga teknikal profesional yang bakal dipersembahkan oleh barisan pemuzik pelapis terbaik negara iaitu anggota kumpulan Def Gab C dan Kristal X,” ujar Pengarah Urusan Shoreline Space, Encik Shahrunnizam Jamel.

Maklumat Tiket

Ingatkah anda dengan lagu-lagu seperti Merah, Cinta Sakti, Seragam Hitam, Resam Pak Belalang, atau Ampunkan Aku dan Memburu Impian? Ayuh kita menyanyi bersama dengan Def Gab C & Kristal X di konsert Merah Hitam @ Zepp KL pada 31 Ogos ini sambil menghayati semangat kemerdekaan.

Untuk maklumat tiket, sila layari laman web myticket.asia.

Leave a comment