Lebih 300 Peserta dari Negara Anggota ASEAN dan Hong Kong, China Mendapat Manfaat daripada Perkongsian Amalan Terbaik ESG

27 Jun 2024 – SME Corp. Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan acara ASEAN Hong Kong, China (AHKC) SMEs Going ESG Policy Dialogue and Workshop 2024 yang melibatkan lebih daripada 300 peserta dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, negara anggota ASEAN, dan Hong Kong, China. Tujuannya adalah untuk memperkukuhkan kesedaran tentang amalan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) serta berkongsi amalan terbaik mengenai kelestarian dalam kalangan negara ASEAN. Acara ini bertemakan “Memperkasa Kelestarian PKS” dan dihadiri oleh pegawai kerajaan, pakar ESG, pemilik PKS, wakil daripada institusi kewangan, dan ahli akademik.

YB Datuk Ewon Benedick menyatakan komitmen ASEAN untuk menggalakkan kelestarian melalui pelbagai inisiatif. Bagi Malaysia, menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan ESG merupakan satu usaha ke arah mengukuhkan komitmen Kerajaan terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris di bawah Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC). Mempercepat penerapan ESG juga merupakan antara inisiatif yang dirancang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021 – 2025.

SME Corp. Malaysia mengenalpasti bidang tumpuan utama sebagai pemangkin untuk mempercepatkan kapasiti dan keupayaan PKS dengan ESG sebagai komponen utama. Selain itu, mereka telah melancarkan Panduan Pantas ESG untuk PKS bagi memudahkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PKS. Mengambilkira kepentingan amalan ini, SME Corp. Malaysia juga telah mengambil inisiatif untuk mengiktiraf PKS yang secara aktif mengintegrasikan amalan ESG ke dalam perniagaan dan strategi syarikat melalui anugerah khas baharu yang diperkenalkan di bawah Program Anugerah Enterprise 50 (E50) tahun ini, iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50.

Selain sesi dialog dan perkongsian, para peserta juga berpeluang mengambil bahagian dalam bengkel yang memberikan pengetahuan praktikal dan boleh diguna pakai dalam membangunkan pelan kelestarian perniagaan firma serta membimbing mereka dalam menyediakan pelaporan ESG.

Acara ini disokong oleh ASEAN – Hong Kong, China Free Trade Agreement Economic and Technical Cooperation (AHKCFTA ECOTECH) Work Programme.

Leave a comment