Surat Steve Albini Buat Nirvana

Band Nirvana telah memuat naik surat mendiang Steve Albini kepada mereka tentang garis panduan merakam album In Utero pada tahun 1993 jika Nirvana bersetuju menggunakan khidmat Steve sebagai jurutera audio, sebagai tribute buat mendiang yang telahpun pergi menghembuskan nafas terakhirnya kelmarin.

Jika dilihat pada garis masa surat ini ditulis, Steve ketika itu samada sedang atau baru saja selesai merakam album Fugazi – In on the Kill Taker, namun Fugazi tidak berpuashati dengan hasilnya dan merakam semula album ini dengan penerbit yang lain, Ted Niceley. Rakaman Fugazi bersama Steve ini tidak pernah dirilis dan khabarnya berlegar dalam bentuk bootleg atau filesharing.

Ada beberapa perkara menarik dalam surat ini:

  • Menurut Steve, hasilkan rekod dalam masa dua hari, dengan kualiti tinggi tetapi produksi minimal dan tanpa gangguan dari pihak pengurusan. Jika Nirvana bersetuju dengan syarat ini, Steve berminat untuk terlibat.
  • Jika rekod mengambil masa lebih daripada seminggu untuk dirakam, ada sesuatu yang tidak kena.
  • Jika setiap elemen muzik dan dinamik kumpulan dikawal oleh klik trek, komputer, campuran automatik, ‘gates’, sampler, dan ‘sequencers’, maka rakaman itu mungkin tidak cacat, tetapi pasti tidak akan luar biasa.
  • Steve tak mahu sebarang royalti selepas album dilancarkan. Dia mahu dibayar sebagai jurutera audio sebagaimana tukang paip dibayar kerana kerja paipnya.
  • Steve mencadangkan Nirvana merakam di Pachyderm Studios kerana sewanya murah tetapi dengan pelbagai fasiliti seperti akustik yang luar biasa, sebuah rumah yang sangat selesa untuk band tinggal semasa rakaman, sauna, kolam renang, sungai untuk memancing ikan trout, dan 50 ekar tanah.

Untuk rekod, Steve pernah menjadi jurutera audio untuk album-album band dan artis seperti Slint, Pixies, Bush, The Breeders, PJ Harvey, The Jesus Lizard, Mono, Jimmy Page dan Robert Plant. Juga sebagai pemuzik untuk band Big Black dan Shellac.

Leave a comment